Assalamualaikum
Pada tanggal 8 Julai 2019 bersamaan dengan cuti kelepasan am bagi warga Pulau Pinang, saya dan rakan sekerja yang lain telah menyertai aktiviti team-building ‘Parti Durian’ yang dianjurkan oleh pihak syarikat kami, Duaria Sdn Bhd. Parti ini berlangsung di Bukit Penara Balik Pulau. Agak-agak 10:30 pagi, kami pun sudah bertolak ke situ.
Buat pertama kalinya saya dapat merasa makan buah durian yang sangat segar kerana ia baru sahaja dikutip daripada dusun durian. Jauhnya perbezaan rasanya antara durian yang baru dikutip dan dibuka untuk dimakan serta durian yang telah lama gugur dan baru dibuka untuk dimakan.


Pengalaman paling menyeronokkan adalah dapat makan bersama teman-teman seperjuangan sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Pemandangan yang sangat indah, tenang dan menyamankan.

Memandangkan saya memang hantu durian, saya makan lebih daripada 20 ulas durian. Saya dimaklumkan pelbagai jenis durian yang terdapat di dusun ini seperti Musang King, Kulit Hijau, Ang Bak, Udang Merah, Duri Hitam, Ho Lor, Ang Jin dan banyak lagi. Salah satu durian yang paling saya gemari adalah hor lor, rasa lemak-lemak dia yang tiada tolok tandingnya. Disebabkan suka punya pasal memang saya makan tak ingat dunia. Seronoknya makan durian di sini ialah anda dapat makan buah durian yang sangat segar kerana ia baru sahaja di kutip daripada dusun.






Walaupun musim buah durian sudah hampir tamat, saya teringin sangat mengarang pantun berasaskan buah durian ini. Nikmatilah pantun ini.
Ambil durian ditepi bukit,
Ambil bersama buah tarap;
Rindu tuan bukan sedikit,
Sudah lama saya mengharap.
Terima kasih kepada bos kami kerana membelanja pekerja-pekerja menyantapi durian pada hari itu.




